Wilayah Pattani
Pattani
(Thai ปัตตานี, Tulisan Jawi: ڤطاني) merupakan salah satu daripada wilayah-wilayah
(changwat) di selatan Thailand yang terbentuk hasil pemecahan Kerajaan Pattani.
Wilayah-wilayah yang berdekatan (dari hala selatan tenggara ikut jam) adalah
Narathiwat, Yala dan Songkhla. Masyarakat Melayu tempatan memanggil wilayah
mereka, Patani Darussalam atau Patani Raya.
Geografi
Pattani
terletak di Semenanjung Malaysia dengan pantai Teluk Thailand di sebelah utara.
Di bahagian selatan terdapat beberapa gunung-ganang dan tempat tarikan
pelancong seperti taman negara Budo-Sungai Padi yang berada di persempadan
wilayah Yala dan Narathiwat. Di sini, terdapat beberapa tumbuhan yang agak luar
biasa seperti palma Bangsoon dan rotan Takathong. Di kawasan persempadan dengan
Songkhla dan Yala pula terdapat sebuah taman rimba yang terkenal dengan gunung terjunnya,
Namtok Sai Khao.
Sejarah
Pada
asalnya, Pattani merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang merdeka. Setelah
Kerajaan Ayutthaya jatuh pada tahun 1767 di tangan Burma, Dinasti Chakri yang
baru ditubuhkan berjaya menghalau penjajah Burma dari Siam dan menaruh minat
untuk meluaskan pengaruhnya ke kawasan selatan termasuk Patani. Serangan pada
tahun 1785 berjaya menakluki Patani. Untuk mengukuhkan penguasaannya, Siam
melantik orang Melayu sendiri sebagai gabenor di Patani dengan Raja Kampung
Laut Tuan Besar dari Kelantan sebagai gabenor yang memakai gelaran raja atau
sultan atau dalam bahasa Siam sebagai Phraya. Phraya Patani ke-V dan terakhir
iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah telah dibuang negeri ke Kelantan kerana
terlibat dalam pemberontakan untuk membebaskan Patani daripada Siam pada tahun
1902 sekaligus menghapuskan sistem beraja Melayu di Patani. Pada 1909,
penguasaan Siam terhadap Pattani diperkukuhkan dan diakui oleh British secara
rasmi akibat perjanjian yang dimeteraikan dengan Empayar British. Narathiwat
dan Yala ditadbirkan secara berasingan. Di Yala terdapat sebuah pergerakan
pemisah Patani yang kembali aktif pada 2004 setelah lama berdiam diri.
Pergerakan pemisah ini menuntut kemerdekaan Pattani Darussalam atau bergabung
dengan Malaysia.
Demografi
Pattani
merupakan salah satu daripada empat wilayah Thai yang mempunyai majoriti
penduduk yang beragama Islam; 85% adalah Muslim. Ia berasal dari perkataan
dalam Bahasa Melayu 'Pantai Ini'. Sebagai salah satu wilayah baru yang
diwujudkan dari Negara Patani yang asal, demografinya tidak jauh berbeza dengan
wilayah-wilayah majoriti Melayu Islam yang lain seperti Narathiwat, Yala, Satun
dan Songkhla. Jumlah penduduk pattani ialah 686,186.
Simbol
Lambang
wilayah Pattani memaparkan sebuah meriam yang dipanggil "Sri
Pattani", yang dihasilkan di Pattani untuk mempertahankan Pattani dari
serangan Siam. Apabila Pattani dikalahkan Siam pada 1785, meriam "Sri
Pattani" dibawa ke Bangkok dan sekarang dipamerkan di hadapan bangunan Kementerian
Pertahanan di Bangkok dan diberi nama Siam, "Phya Pattani". Pada
asalnya terdapat dua meriam dan yang satu lagi ialah "Sri Negaro"
tapi telah terjatuh ke dalam Kuala Sungai Pattani semasa hendak diangkut ke
Bangkok. Simbol-simbol yang lain termasuk bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis),
dan pokok Chengal Kampung (Hopea odorata).
Post a Comment