Hampir kesemua penduduk di negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia telah mengenali lima wilayah di Selatan Negara Thai iaitu Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Naratiwat.
Sebahagian dari penduduk di kedua-dua negara berjiran itu sudah lama menjalin hubungan dalam bentuk institusi kekeluargaan, sosial dan keagamaan, kegiatan ekonomi dan perniagaan, malah ada dari segi politik.
Apabila rakan sekampung Lahar Yooi mengajak penulis bermusafir ke Daerah Pattani dan Yala, penulis tidak melepaskan peluang ikut serta kerana hasrat untuk ke destinasi tersebut sudah lama terpendam.
Pakej lawatan 3 Hari 2 Malam dengan seramai 47 orang, dipimpin oleh Ustaz Roslan dan isteri Ustazah Ummi Aishah.
Ustaz Mujahid, seorang anak tempatan Pattani bertindak sebagai tourist guided.
Selesai urusan imigresen di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam dan Dannok, bas terus meluncur laju melalui lebuhraya dual-carriageway bebas tol.
Sepanjang masa di dalam bas, peserta di beri tazkirah, bacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan qasidah.
Kami juga bersama-sama melakukan solat sunat dhuha di dalam bas.
Pemandangan deretan kebun-kebun getah, kelapa sawit, semak samun dan bendang/padang kering yang diselang seli dengan kampung dan pekan-pekan kecil adalah panorama tipikal yang dapat dilihat pada sepanjang perjalanan.
Juga menarik, terdapat begitu banyak pos-pos kawalan merentangi jalan yang lengkap dengan bunker, kawat berduri dan kamera CCTV dipasang - dengan pasukan keselamatan Thailand memegang rifle M-16, bertugas 24 jam, membuktikan wilayah yang kami masuki itu masih belum aman.
Wilayah Pattani berasal dari Kerajaan Melayu Patani Raya, (bermula dari Daerah Phang Gha hinggalah ke sempadan Semenanjung Tanah Melayu), yang telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri bertujuan melemahkan orang Melayu Patani.
Pada setiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan pemerintah Kerajaan Siam di Songkhla (Singgora).
Semenjak dari tempoh tersebut, telah wujud penentangan dari penduduk untuk membebaskan wilayah mereka dari Siam.
Penentangan semakin memuncak apabila Perjanjian antara British - Siam ditandatangani pada 10 Mac 1909.
Dampak dari Perjanjian itu menyaksikan British mengiktiraf Wilayah Patani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun sebagai wilayah Siam.
Manakala Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu diletak di bawah Malaya.
Semenjak abad ke-14 lagi , keinginan muslim Melayu untuk bebas dari kekuasaan Thailand sudah berlangsung sangat lama.
Bahkan Permusuhan antara Muslim Pattani di Selatan dengan masyarakat Buddha-Siam sudah berlangsung ratusan tahun, atau sejak terbentuknya masyarakat Islam Pattani yang disebar melalui pedagang Arab dan China.
Jika anda berhasrat melawat ke Wilayah Pattani, anda perlu fokuskan kepada empat segmen yang sinonim dengan Pattani iaitu :-
-tempat kelahiran para ulamak tersohor,
-tempat tertulis, tercetak dan tersebarnya kitab-kitab Jawi-Arab yang unggul.
-tempat kelahiran institusi pengajian pondok yang terbilang.
-tempat bersemadinya jasad para syuhada yang syahid ketika menentang penjajahan Siam/Buddha dan pemerintah yang korup, penindas, penzalim dan penjarah harta negara.
Lebuhraya empat lorong bebas tol dibina oleh Kerajaan Negara Thai menghubungkan dengan hampir kesemua wilayah di bahagian selatan negara tersebut dengan ibu kota Bangkok.
Salah satu dari berpuluh buah pusat pemeriksaan atau pos kawalan yang dikawal oleh tentera atau polis Thai di Wilayah Pattani.
Setelah hampir dua jam perjalanan, bas menyusuri kawasan pinggir pantai.
Kami berhenti untuk melihat industri memproses air laut menjadi garam di Kampong Lamdok yang diusahakan secara tradisional semenjak 100 tahun yang lalu.
Sekurang-kurangnya 10 buah kampung di Pattani yang mempunyai tanah liat dengan kadar kemasinan yang tinggi diusahakan sebagai sawah garam dengan keluasan kira-kira 400 hektar.
Tanah hak milik kerajaan itu disewa kepada pengusaha dengan kadar sewaan THB 400 setahun untuk dua petak yang berluasan 10 m x 20 m.
Garam diproses melalui penyejatan air laut.
Air laut perlu terlebih dahulu dijernihkan hampir sebulan di dalam satu kawasan petak sawah yang lain tetapi berdekatan dengan petak yang bakal menghasilkan garam.
Setelah sebulan air laut dijernihkan, barulah dilepaskan ke petak sawah secara berperingkat-peringkat.
Pada petak sawah yang terakhir, air laut yang terdedah kepada cahaya matahari terik selama lima hari mula membentuk lapisan garam.
Alat penarik seakan-akan cangkul lebar yang diperbuat daripada papan untuk mengumpulkan garam yang masih terendam air di dalam kawasan petak sawah.
Dijangkakan pengusaha akan memperolehi kira-kira 50 kg sekali 'tuai'.
Selain untuk kegunaan memasak, garam yang dihasilkan dijual secara komersial pada skala besar sebagai sabun mandi, produk spa, komestik dan produk kecantikan atau ubat penyakit kulit.
Begitulah gigihnya bangsa Pattani dalam mencari nafkah menyara keluarga.
Destinasi kami seterusnya ialah ke Masjid Kerisek yang terletak di Tanyong Luloh, iaitu 6 km dari pusat bandar Pattani.
Masjid Krue Se dalam bahasa Siam adalah masjid pertama di dirikan di Pattani.
Dibina pada Tahun 1514M oleh Raja Pattani iaitu Sultan Ismail Shah (Raja Indira) dan siap semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
Semasa Permaisuri Hijau menjadi Raja Perempuan Pattani, baginda telah membawa masuk tukang dari Negara China iaitu Lim Tho Kiam untuk memperindahkan masjid tersebut.
Bagaimanapun, masjid tersebut telah dibinasakan dan dibakar beberapa kali oleh tentera Palembang dan Ayuthaya yang menyerang Pattani.
Berikutnya, disebabkan keadaannya terlalu uzur dan usang, ditambah pula ekonomi Pattani lumpuh akibat peperangan, sultan mengambil keputusan membina masjid baru di Kampung Bana.
Kesannya, Masjid Krisek ditinggal terbiar sehingga bersemak-samun.
Masjid Kerisek telah beberapa kali dibuat pembaikan, menjadikannya salah satu ikon pelancongan Muslim di Pattani.
Untuk menarik pelancong bukan muslim pula, terutama kaum Cina dari Malaysia dan Singapura, pihak berkuasa pelancongan turut membina beberapa replika dan monumen berciri budaya Cina yang dibina di tanah kuburan Lim Tho Kiam kira-kira 300 meter dari masjid.
Senibina Masjid Kerisek mirip masjid-masjid yang dibina di Timer Tengah. Pintu dan tingkap berbentuk gerbang menggunakan rekabentuk yang berkonsepkan Moor Sepanyol atau Moghul India.
Tiang atau pilar ada persamaan dengan "gothic style column Europe" Binaan utama terdiri dari satu dewan solat yang berdinding dengan keluasan 7 m x 10 m dan dewan atau dataran solat terbuka tanpa dinding yang menganjur ke bahagian belakang masjid.
Tetapi kata-kata ahli sejarah "the most important, part of the dome's roof which has never finished"
Bagaimanapun, oleh kerana nilai sejarahnya, maka pada Tahun 1935, Jabatan Arkeologi dan Antikuiti Thailand mengisytiharkannya sebagai tapak sejarah sekali gus memungkinkan kerja pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan dilakukan pada 1957, 1982 dan 2004.
Penulis beranggapan Masjid Kerisek terkenal bukan kerana ia sebagai satu binaan "masjid tidak siap".
Tetapi lebih jauh dari itu iaitu sebagai satu simbol penentangan saudara Muslimin dan Muslimat kita terhadap penjajahan dan kezaliman Kerajaan Thailand terhadap ethnik Melayu Muslim.
Kerajaan Buddha Thailand sangat agresif melakukan "Siamization" terhadap warga Islam di lima wilayah di Selatan Negara Thai, terutama di Pattani.
Di antaranya:-
Bahasa Melayu tidak dibenarkan dijadikan sebagai lingua franca di Selatan Thailand.
Nama-nama tempat pun ditukar atau ubah supaya hilang unsur sebutan Melayu.
Contohnya, Daerah Menara (Narathiwat), Tebing (Taling Can), Pulau Panji (Ko Pan Yee) Krue Sae (Kerisek) dan sebagainya.
Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam.
Secara ethnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam (Thailand).
Oleh sebab itu mereka lebih selesa berbahasa Melayu.
Proses Siamization bahasa ini hampir berjaya di Wilayah Songkla dan Sadoa, tetapi tidak di Pattani, Yala dan Naratiwat.
Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Sejarah Kedatangan Islam ke Pattani tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah dan sekolah-sekolah swasta.
Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani.
Bagi pemerintah, Pattani bukan negeri Melayu, tetapi sebahagian daripada Thailand.
Proses Siamization sejarah juga gagal dipraktikkan di Pattani dan Yala kerana sejarah Pattani ada diajar di sekolah-sekolah pondok dan pasentran.
Orang Melayu di kelima-lima wilayah tersebut dipaksa belajar menggunakan bahasa Thai sebagai medium bahasa dalam sistem pendidikan.
Tetapi proses itu juga gagal dipraktikkan di Pattani dan Yala kerana sistem sokolah pondok menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran dan pengajaran.
Nama mereka terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan termasuk di Selatan Thailand sendiri.
Nama seperti Muhammad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dengan kerajaan.
Siam bukan sahaja menjajah, tetapi mereka juga berusaha mem"buddha"kan orang-orang Melayu di wilayah-wilayah tersebut.
Usaha Siamization oleh Kerajaan Bangkok terhadap penduduk Muslim di Wilayah Selatan telah menyebabkan tertubuhnya Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani atau PULO pada 1968 di tanah Arab dan menjadi kumpulan pemberontak terbesar di selatan Thailand sejak dua dekad.
Apabila Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri Thailand pada Tahun 2001, beliau mengambil jalan mudah dengan mengamalkan dasar kekerasan terhadap golongan 'pemisah' ini dengan mengarahkan mereka ditangkap dan ditembak.
Antara yang menjadi mangsa ialah para alim ulama, pemimpin, ustaz di sekolah pondok dan lain-lain.
Tidak ada perancangan rapi terhadap sekolah-sekolah pondok yang terdapat di sana.
Akibatnya ada yang cenderung ke arah militan.
Beberapa pemimpin militan Indonesia bersembunyi di sini.
Hampir 1500 orang terbunuh akibat dasar keras Thaksin Shinawatra.
Kemuncaknya pada 4 Januari 2004, Thailand dikejutkan dengan serbuan mengejut kumpulan pemisah ke atas stor simpanan senjata di Narathiwat.
Dalam serbuan mengejut ini, sebanyak 413 laras senjata api M-16 dilaporkan hilang.
Peristiwa tersebut menjadikan konflik di Selatan Thailand memasuki episod yang lebih teruk daripada sebelumnya.
Antaranya Tragedi Masjid Kerisik di Pattani pada 28 April 2004 tercetus peristiwa pembunuhan kejam beramai-ramai di dalam dan di halaman Masjid Kerisik oleh tentera elite Thai yang mengepung umat Islam yang baru selesai menunaikan Solat Subuh selama 8 jam.
Seramai 34 anak-anak muda yang berumur dari 16 hingga 34 tahun telah terkorban selepas solat Asar.
Alasan yang dikemukakan adalah di masjid itu adalah tempat pejuang Islam menyimpan senjata mereka dan menjadi lokasi perjumpaan bagi pejuang PULO.
Selepas peristiwa serangan ganas di Masjid Kerisek, tercetus pula tragedi Tak Bai pada 24 Oktober 2004 dimana 78 orang pemuda Muslim Thai telah terbunuh.
Seusai solat jamak dan qasar Zohor Asar, rombongan kami bergerak menuju ke Kampung Parit Marhum berdekatan anak Sungai Kerisek.
Tujuan kami ke situ ialah untuk melihat sebuah sumur yang dikatakan pernah digali oleh Sheikh Daud al-Fathoni @ Sheikh Wan Daud bin Wan Abdullah atau Tok Sheikh Daud diputerakan di Kerisek Pattani pada Tahun 1769M dan wafat pada tahun 1847M.
Sheikh Daud mendapat pendidikan awal di Pattani selama lima tahun, seterusnya menyambung pengajian di Acheh Darul Salam selama dua tahun.
Dari Acheh, Tok Sheikh berhijrah ke Tanah Suci Mekah dan menuntut ilmu dan mengajar di situ selama 30 tahun. Tok Sheikh Daud kembali ke Pattani untuk mengajar dan mengarang kitab bahasa Melayu dan Arab.
Tetapi apabila berlaku pergolakan politik di mana kerajaan Siam bertindak bermusuh dengan penduduk Islam di Selatan Thai, terutama di Pattani Tok Sheikh telah menyertai kumpulan jihad menentang kezaliman kerajaan Siam.
Disebabkan situasi tidak aman di situ, Tok Sheikh balik semula ke Mekah dan seterusnya wafat di Ta'if, dikebumikan bersebelahan jasad Saidina Abdullah bin Abbas r.a iaitu sepupu Rasulullah SWT.
Disebabkan tingginya ilmu pengetahuan Islam yang dimiliki, Tok Sheikh diberi gelaran al-Alim Allamah al Arif ar-Rabbani.
Tok Sheikh adalah seorang ulamak dan pengarang kitab-kitab pelbagai ilmu Islam yang tersohor di Nusantara.
Banyak kitab-kitab karangan Tok Sheikh terutama kitab Melayu - jawi menjadi rujukan umat Islam hingga kini.
Tok Sheikh bersifat terbuka dan tegas dalam membicara sesuatu hukum hakam.
Misalnya dalam sebuah kitab kitab fekah tulisan Tok Sheikh berkaitan hukum berkumpul dan mengadakan kenduri arwah yang telah menjadi amalan masyarakat Melayu Islam apabila berlaku kematian orang Islam.
Tok Sheikh Daud juga tergolong sebagai seorang 'karamah'.
Pernah suatu ketika sedang Tok Sheikh menyampaikan kuliah, Tok Sheikh menggerak-gerakkan tangan, mengapai-apai sehingga lengan baju basah dan menitis air.
Selang beberapa hari kemudian, Tok Sheikh didatangi beberapa orang penduduk yang ingin mengucapkan terima kasih kerana telah menolong mereka dari mati lemas di laut.
Kini, tapak rumah kelahiran Tok Sheikh Daud dikunjungi para pelancung dan musafir.
Berhampiran dengan tapak tersebut terdapat Kompleks Jamiyyah Fatani iaitu tempat pengajian lanjutan ilmu Islam khusus para tuan guru untuk memperdalami ajaran Islam.
Dikatakan Maulana Malik bin Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar di Kampung Kerisek sebelum berhijrah ke Surabaya Jawa Timur.
Telaga Sheikh Daud Parit Al Fathoni yang terletak di Kampung Parit Marhum, anak Sungai Kerisek.
Telaga air payau yang cuma kira-kira 2 meter dalam terdapat paras air.
Tn. Hj. Arifin sedang mengambil wudhu menggunakan air telaga.
Sebahagian dari petempatan pondok pasentran di kompleks Jamiyyah Fatani yang berdekatan dengan Telaga Sheikh Daud.
Hampir sejam kami di Perigi Sheikh Daud, kami bertolak ke pusat bandar Pattani untuk ke hotel penginapan.
Disediakan oleh :
Nur Farhana Marini Binti Marzuki merupakan sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) sebagai Setiausaha, juga sebagai Exco Multimedia dan Teknologi Kreatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUNISEL) sesi 2019/2020 serta Setiausaha Grup Sukarelawan Darul Ehsan Kampus Shah Alam.
Post a Comment