RAJA THAILAND DIBERI PENGECUALIAN CUKAI

BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn akan diberi pengecualian cukai ke atas beberapa hartanah miliknya, sekali gus menyaksikan beberapa perubahan besar terhadap pengurusan hal ehwal diraja, sejak beliau menaiki takhta pada 2016.
Pengumuman oleh kerajaan itu dibuat menjelang sambutan ulang tahun ke-67, Raja Maha Vajiralongkorn, semalam.
Biro Hartanah Diraja, yang mengendalikan pegangan milik keluarga diraja bernilai berbilion dolar, termasuk mengawal sejumlah tanah di Bangkok, diletakkan di bawah kawalan terus raja pada 2017.
Ketika itu, status pengecualian cukai yang diberikan kepada hartanah dan pegangan milik keluarga diraja dimansuhkan.
Namun, mengikut undang-undang baharu yang diterbitkan dalam Warta Diraja pada Jumaat lalu, beberapa tanah dan pertubuhan milik raja akan dikecualikan daripada cukai.
Menurut dokumen itu, ia termasuk tanah dan pertubuhan yang digunakan dalam urusan negara, hal ehwal diraja atau digunakan oleh agensi di bawah kawalan raja.
Selain itu, hartanah yang digunakan hal ehwal lain oleh raja dan ahli keluarga diraja bagi kepentingan awam atau atau kegunaan tempat keagamaan juga dikecualikan cukai.
“Mana-mana yang tidak memenuhi huraian yang dinyatakan hanya dikenakan cukai, bagi beberapa bahagian yang digunakan bagi tujuan bukan untuk mengaut keuntungan,” kata dokumen itu.
Menurut biografi mendiang bapa Raja Maha Vajiralongkorn, ‘King Bhumibol, A Life’s Work’ yang diterbitkan pada 2011, Biro Hartanah Diraja memegang hak ke atas 6,560 hektar tanah di Thailand, 40,000 kontrak penyewaan di seluruh negara, termasuk 17,000 di Bangkok.
Raja Thailand pernah disenaraikan sebagai raja paling kaya di dunia dan laman web Business Insider menganggarkan beliau memiliki kekayaan peribadinya lebih AS$30 bilion (RM123.59 bilion) pada 2018. - Reuters
Sumber : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2019/07/590185/raja-thailand-diberi-pengecualian-cukai

Nur Ameera Afiefa bt Azlin merupakan sukarelawan yang akan melaksanakan Misi Jelajah Patani pada 6-21 Ogos 2019 sebagai Bendahari.

Post a Comment

Previous Post Next Post