Hari ini merupakan hari ke-7 kami di Patani. Hari ini juga merupakan Hari Raya Aidiladha.  Sesudah solat sunat hari raya, aku duduk dihadapan rumah untuk menghubungi keluargaku di Malaysia. Aku menitiskan air mata apabila melihat wajah abahku kerana aku sangat merinduinya dan ini merupakan kali pertama aku beraya tanpa keluarga disisi. Keluargaku dan saudara-maraku yang lain beraya di rumah ibu saudaraku di Sg Buloh. Aku amat mencemburui mereka kerana mereka dapat berkumpul ramai-ramai di hari raya ini. Namun aku bersyukur walaupun aku tidak dapat beraya bersama mereka, kerana disini terasa seperti beraya bersama keluarga sendiri. Penduduk kami Nad Tanjung amat mulia sekali budi pekerti mereka. Sejak awal pagi lagi kami dijemput beraya ke rumah mereka. 

Selepas solat sunat kaum lelaki beraya di rumah salah seorang penduduk kampung kemudian mereka bergerak ke tempat lembu disembelih untuk melihat proses penyembelihan disini. Menurut Fikry, Proses penyembelihan disini amat berbeza dengan Malaysia. Bagi kaum perempuan pula kami beraya di rumah makcik Maznah iaitu jiran belakang rumah kami. Kami dihidangkan dengan ketupat, gulai ayam, sambal ikan dan kuih-muih. Makcik Maznah berkerja di Penang, dia membuka kedai makan tomya di sana. Aku berasa senang untuk berborak dengannya kerana makcik Maznah bercakap bahasa utara memandangkan aku juga berasal dari utara. 

Pulangnya kaum lelaki ke rumah, kami pun bergerak bersama-sama ke rumah Abe Ya (Encik Zakaria) untuk beraya. Sewaktu kami tiba dirumahnya Abe Ya tiada di rumah, lalu kami dilayani oleh anak saudaranya, Suhaida. Orangnya amat cantik sekali dan peramah. Suhaida belajar di Bangkok dalam jurusan Bussiness Admin. Tidak lama kemudian Abe Ya pulang. Kami seronok berborak dengan Abe Ya yang banyak mulut kerana dia merupakan seorang yang peramah dan banyak pengalaman termasuklah pengalaman datang ke Malaysia. Abe Ya menceritakan tentang perjalanan semasa di Malaysia. Antara nasihatnya yang aku ingat ialah "jangan minta balasan apabila kita menolong orang ". 

Kemudian kami ke rumah Poksu Daree. Buat pertama kali aku merasa lepat pisang versi Thailand. Peurt sudah kekenyangan  lalu kami pun pulang ke homstay untuk berehat dan menyiapkan kerja. Petang pula kami dibawa pusing-pusing kampung oleh anak Abe Mat untuk membuat pengumuman kepada penduduk kampung mengenai persembahan yang akan diakan pada esok hari. 

Malam pula selepas menunaikan solat isyak di surau Ahol kami ke rumah Abe Mat kerana ada tahlil dan makan malam disana sekali. Alhamdulillah rezeki kami hari ini tidak putus-putus.


Nur Ameera Afiefa bt Azlin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada  6 hingga 23 Ogos 2019 sebagai Bendahari. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post