Air yang sangat dingin diawal pagi sebelum fajar, menyegarkan tubuhku. Aku mulakan hariku dengan lafaz doa. Aku dan teman-teman sahur berbekalkan mi segera berlauk kerang yang dimasak oleh Syaripah Binti Sabidatul Fajar (aktivis sukarelawan). Berpuasa akan membersihkan usus dan dapat mengawal nafsu (keinginan yang berlebihan).

Muhamad Fikry Bin Abdul Hamid (ketua kumpulan MIMPI) memberitahu untuk menyiapkan minda dan fizikal kerana akan buat aktiviti lasak. Aku dan teman-teman diajak menaiki bot oleh tok penghulu Kg. Nad Tanjung. Dalam satu kumpulan, mesti lantik ketua. Umpama pengembala dan biri-biri, jika biri-biri dilepaskan meragut rumput tanpa pengawasan pengembala, pasti akan dibaham serigala yang bertopengkan biri-biri.

Aku membonceng Ahmad Haydar Bin Zabri (aktivis sukarelawan) yang mengambil aku di padang bola bersebelahan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Fakir Miskin, Nad Tanjung, Yaring, Pattani, Thailand. Aku sepatutnya berkumpul dan membaca al-ma’thurat bersama selepas solat Asar berjemaah di Surau Ahol, tetapi dalam perjalanan pulang ke penginapan, aku ternampak sekumpulan kanak-kanak lelaki yang bermain bola. Niat di hati untuk mengajak mereka datang ke tempat kami malam ini untuk kelas matapelajaran matematik. Aku menyapa, “nak main! Tim sini ya?” sambil menunjukkan padang sebelah kanan. Seorang kanak-kanak dipanggil Din, dia sangat pandai menggelicik bola dan menjaringkan lapan gol. Aku termengah-mengah mengejar bola yang dibawanya. Akhirnya, aku yang seronok bermain bola sepak hingga terlupa akan tujuan sebenar aku.

Aku diberikan ‘life jacket’ yang berwarna biru dan saiz yang besar. Aku kelihatan seperti seorang pemain ragbi kerana bahu yang tinggi disebabkan ‘life jacket’ yang aku pakai. Sebaik-baik bekal adalah taqwa, jika kita nak selamat menaiki bot, kita pasti akan memakai ‘life jacket’. Begitulah, jika kita nak selamat di akhirat, di dunia kita mesti berhati-hati dalam beramal.

Ini kali kedua aku menaiki bot. Bot ini berukuran 8 kaki panjang dan 3 kaki lebar, tidak beratap, menggunakan enjin Yamaha yang disambungkan dengan bilah kipas yang diikat pada sebatang besi yang panjang untuk kemudi. Bot ini agak uzur, seringkali masuk air, semakin ramai penumpang semakin banyak air yang masuk, tetapi tidak akan tenggelam kerana dipasangkan ‘styrofoam’ bagi mengapungkan bot. aku duduk di bahagian belakang, depan aku Ameera, Nurul Syakilla Binti Anuar, Asshikin dan Abang Ariffin (adik tok penghulu). Tidak pernah dibuat orang, naik bot duduk atas kerusi plastik yang ringan. Bot dikemudi oleh abang Razali, orang tempatan, dipandu dengan laju, aku merasakan hampir tercampak keluar dari bot. Ditambah pula dengan angin sejuk yang mencengkam kerana baru selepas hujan, tetapi awan masih mendung, barangkali akan hujan lagi. Kanan dan kiri Sungai Nad Tanjung dipenuhi dengan pokok kelapa dan pokok hutan. Masih banyak pokok di kawasan ini yang membekalkan udara yang bersih. Aku melalui sebuah jambatan tempat orang kampung memancing Udang Harimau. Mereka mencangkung bawah jambatan sambal menunggu umpan terkena pada udang. Bunyi enjin bot sangat kuat, sudah tentu udang lari bertempiaran. Sebelah kanan sungai terdapat sebuat pondok mengaji kitab, kata tok penghulu, ramai murid dari Malaysia yang mengaji di situ. Sebelah kiri sungai, tersergam sebuah Masjid Jamek Nad Tanjung tempat kami menunaikan Solat Jumaat. Hampir satu kilometer aku menelusuri Sungai Nad Tanjung, terlihat 1 mangkuk polisterin dan 1 botol minuman 500 ml, tapi aku tidak mengutipnya. Aku menyesal tak mengutip sampah tersebut yang akan menganggu hidupan sungai dan kebersihannya.

Aku sedar, tiada yang Allah ciptakan dengan sia-sia. Setiap perkara yang berlaku pasti ada makna. Aku mesti pastikan hidupku memberi erti pada diri aku sendiri. Jika aku tidak menghargai alam yang Allah kurniakan, aku yang rugi kerana Allah tidak memerlukan aku, akulah yang memerlukan Allah.

Penulis bernama Muhammad Amin Bin Shahrudin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada hingga 23 Ogos 2019 sebagai AJK Kebajikan. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Rantaian Bekalan, tahun ketiga dari Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post