Tak perlu risau nak makan apa jika jejak kaki di Pattani kerana majoriti orang muslim. Sangat mudah nak cari tempat makan. Hari ini aku berpuasa sunat Arafah. Mataku berat nak bangun sahur. Aku gagahkan juga melangkah untuk mengunyah makanan yang sudah dimasak oleh Syaripah (aktivis sukarelawan). Aku berkongsi makan nasi goreng dengan Fikry (aktivis sukarelawan) dan Ahmad (aktivis sukarelawan) dan kurma.

Aku dan teman-teman dijemput berbuka puasa di rumah Abe Hassan. Setiap kali sebelum makan di rumah orang kampung, kami akan membaca 10 kali surah al-Ikhlas, 1 kali surah al-Falaq dan surah an-Nas, surah al-Fatihah, surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5, ayat kursiy, 100 kali tahlil dan diakhiri dengan do’a. Bila banyak menyebut perkara yang baik, ia akan kembali pada diri sendiri.

Abe Hassan pesan pada aku untuk menjaga amalan zikir pagi dan petang. Dia menunjukkan buku zikir yang dibawanya. Isi kandungannya lebih kurang seperti al-Ma’thurat yang aku amalkan dalam misi ini. Dia kata, jika dibaca pagi, kita dilindungi sehingga petang. Jika dibaca petang, kita dilindungi sehingga esok pagi. Jika kita pergi Solat Jumaat, kita akan dilindungi sehingga jumaat yang seterusnya. Jika kita berpuasa pada bulan Ramadhan, kita akan dilindungi sehingga bulan Ramadhan yang seterusnya. Kita akan sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T. Siapa yang tidak mahukan ganjaran sebesar ini, rugilah dirinya.

Orang Pattani sangat menjaga adab. Setiap kali berkunjung ke rumah orang kampung, golongan wanita akan masuk ikut pintu tepi. Lelaki akan berada di ruang tamu depan. Perkara ini sangat bagus untuk dicontohi, penglihatan juga turut terjaga. Sudah menjadi adab tuan rumah akan menghidangkan lauk yang pelbagai, nasi yang banyak, air yang sejuk, keropok-keropok tetapi aku sebagai tetamu mesti mengambil apa yang perlu sahaja. Setiap kali balik dari jamuan rumah orang kampung, aku mesti kekenyangan dan mengantuk. Akhirnya tugasan travelog dan puisi tak dapat diselesaikan. Ini memberikan pengajaran yang besar buat diriku.


Penulis bernama Muhammad Amin Bin Shahrudin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada hingga 23 Ogos 2019 sebagai AJK Kebajikan. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Rantaian Bekalan, tahun ketiga dari Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post