Bunyi kokokan ayam kedengaran. Seperti biasa aku bangun awal pagi untuk bersiap untuk Subuh di Masjid Auhol dan bacaan Al-Mathurat.  Setelah selesai, kami terus meletakkan pek bantuan makanan  ke dalam motor "tukbek". Kami bersiap sedia untuk melaksanakan aktiviti memberi pek makanan kepada 40 ahli keluarga di kampung ini. Kami mula melawati rumah ke rumah. Riak wajah mereka jelas menggambarkan kesyukuran menerima bantuan. Aktiviti kami diiringi oleh Abe Mat di sebelah pagi. Namun, kami tidak dapat menghabiskan kesemua pek makanan tersebut akibat kekangan masa.

Kami terus menuju ke Masjid Jamek Nad Tanjung untuk solat Jumaat. Tajuk khutbah yang disampaikan ialah "Kebendaan". Kebendaan merupakan sifat meninggikan harta benda. Sentiasa memperagakan pakaian yang melebih, membeli perkara yang mahal dan sia-sia, membazir dan sebagainya. Itulah sebab sifat bersyukur atas nikmatNya adalah perlu. Sekiranya kita bersyukur, kita dapat merasakan apa yang kita ada cukup.



Setelah selesai solat Jumaat, kami pulang ke homestay untuk membuat perancangan bersama anak Abe Mat, Usman berkaitan persembahan kami pada Isnin nanti. Kami merancang untuk menyanyikan dua buah lagu nasyid, yang diketuai oleh Ahmad. Mereka bersetuju untuk memasukkan kami kedalam tentatif persembahan nanti. Setelah selesai berbincang, kami menyambung aktiviti menghantar pek bantuan. Kali ini, kami diiringi oleh Ustaz Usman, Usman dan rakan-rakannya, Roslan dan Ahmad. Sepanjang pemberian pek makanan, kami dapat melihat betapa susah dan daifnya beberapa buah keluarga. Ada yang diceritakan, dari asalnya seorang hartawan, kini tinggal sehelai sepinggang dan dijaga oleh ibunya kerana mengalami gangguan mental. Ada yang tidak dapat berjalan kerana kecacatan. Ada juga yang tinggal berseorangan di rumah papan yang agak rapuh. Kami amat terkesan dengan pengalaman tersebut


Hari semakin gelap, Ustaz Usman mengarahkan kami untuk pulang dan bersiap untuk ke jeti Tok Penghulu Kamarudin diiringi oleh Abe Razali dan Abe Ariffin.  Kami dijemput menaiki bot dan bersiar-siar melihat keindahan alam ciptaan Allah. Kami dapat merasakan pengalaman 'gayat' diatas bot dan bagaimana rasanya melihat persekitaran sungai. Gerimis mulai turun. Dengan kelajuan bot, rasa sejuk yang nyaman mulai menusuk tubuh kami. Pengalaman yang jujur aku katakan, sangat bernilai. Satu ketenangan yang jarang aku rasa. Setelah 40 minit, kami tiba semula di jeti. Kerana kesuntukan masa, kami tidak dapat berborak lama bersama mereka di atas jeti. Kami berterima kasih dengan Tok Penghulu, Abe Razali dan Abe Ariffin. Kami pulang dan mula memasak untuk juadah berbuka

Antara lauk yang disediakan ialah 'lokeng' masak sambal, sayur taugeh goreng, dan kerepek bersama nasi. Rasa masakan air tangan dari Kak Sha dan Hana sangat sedap. Kami berterima kasih kepada 'Mek Dapur' kami kerana sanggup memasak untuk juadah berbuka kami. Selepas Maghrib, kami bersiap untuk modul bersama anak-anak muda di Kampung Nad Tanjung. Modul kami pada malam ini ialah Matematik. Kami teruja dengan kemeriahan yang dibawa oleh kanak-kanak tersebut walaupun bilangan mereka hanya 8 orang. Selain matematik, kami juga ada slot penceritaan tentang kisah-kisah tauladan ketika zaman Nabi Muhammad SAW.  Antaranya ialah kisah Sumayyah, kisah bagaimana Rasulullah SAW bersembunyi di Gua Tsur. Tepat pukul 10 malam, kami mengakhiri kelas bersama mereka. Kami sempat memberikan beg alatan tulis dan makanan ringan kepada mereka. Setelah selesai, kami terus laksankan OG dan tidur. 


Fikry Bin Abd Hamid merupakan sukarelawan yang akan melaksanakan Misi Jelajah Patani pada 6-23 Ogos 2019 sebagai Pengarah. Beliau merupakan Exco Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar MPPUNISEL sesi 2019/2020 selain Timbanlan Presiden, Grup Sukarelawann Darul Ehsan Kampus Shah Alam. Beliau juga program Diploma in Accountancy


Post a Comment

Previous Post Next Post