Travelog 04/09/18

Hari ke-2
Hari ini seperti biasa kami bangun tidur dan solat Subuh terlebih dahulu sebelum menyiapkan diri untuk ke program yang seterusnya. Pada pukul 8:30 pagi, kami dihidangkan sarapan pagi iaitu roti sandwich berintikan telur hancur oleh fasilitator-fasilitator kami. Setelah selesai, kami menuju ke bilik kuliah tingkat 2 di dalam perpustakaan bagi meneruskan pembelajaran kami. Antara subjek yang ditekankan termasuklah penggunaan media dan videografi, cara membuat syair, dan juga posto-posto. Setelah selesai, kami berehat dan menunaikan solat Zohor secara berjemaah di masjid dan menjamu makanan tengah hari yang juga disediakan oleh fasilitator-fasilitator yang giat memasak. Pada pukul 2:00 ptg, kami kembali ke bilik kuliah yang akan dikendalikan pula oleh Encik Izwan Suhadak. Beliau menyemak semula hasil kerja kami pada pagi tadi dan menerangkan setiap kesalahan-kesalahan yang kami lakukan. Setelah itu, kami menunaikan solat Asar di masjid sebelum meneruskan sesi seterusnya iaitu teknik berpidato yang juga akan dikendalikan oleh Encik Izwan Suhadak. Beliau mendedahkan kepada kami cara menyampaikan pidato, cara menangani kegentaran serta cara untuk menghasilkan idea dengan pantas. Setelah selesainya sesi tersebut, kami dijamukan makan malam sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah. Sesi seterusnya merupakan pendedahan tentang persiapan-persiapan sebelum ke misi seperti format kertas kerja,cara mendapatkan dan menjana dana untuk ke misi serta perkara-perkara lain yang perlu dilakukan ketika berada di misi selain daripada kerja amal. Pada pukul 9:30 malam, kami turun ke bawah untuk meneruskan sesi terakhir iaitu sesi Postmoterm bersama ahli-ahli lain. Bermacam-macam kesan, pesan dan kesimpulan yang telah ahli luahkan daripada sesi tersebut yang sangat bermanfaat kepada kami. Setelah itu kami pulang ke dorm masing-masing untuk solat Isyak dan tidur.

Post a Comment

Previous Post Next Post