Induksi Misi Sukarelawan Antarabangsa
Pada hari
Isnin, yang bertarikh 3 September 2018 yang lalu, Grup Sukarelawan Darul Ehsan
atau singkatannya De Volunteer telah menjalankan sebuah program induksi di
Universiti Selangor, Bestari Jaya. Induksi yang juga diberi nama sebagai
Induksi Misi Sukarelawan Antarabangsa ini telah melibatkan seorang penasihat
kelab iaitu Encik Izwan Suhada, 4 orang ahli fasilitator dan para sukarelawan
berlainan misi yang lain. Program yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini bertujuan
untuk mempersiapkan jiwa raga para sukarelawan di samping melatih semua
sukarelawan untuk sentiasa bersedia dan cekal dengan pelbagai cabaran sebelum
dan semasa menjalankan misi masing – masing.
Pada hari
pertama induksi dijalankan iaitu pada 3 September 2018, tepat pada jam 8:30
pagi, saya dan ahli sukarelawan yang lain telah berkumpul di Pusat Sukan Unisel
Bestari Jaya ( COMNET ) untuk memulakan aktiviti pertama kami iaitu senaman
ringan. Aktiviti senaman ini telah diketuai oleh penasihat kelab De Volunteer
sendiri iaitu Encik Izwan Suhada. Setelah selesai bersenam, kami telah
diarahkan untuk menuju ke perpustakaan Unisel Bestari Jaya untuk meneruskan
aktiviti yang seterusnya. Setibanya kami di perpustakaan, kami telah
ditempatkan di sebuah bilik perbincangan yang dapat mengumpulkan semua
sukarelawan dan fasilitator yang hadir pada hari tersebut. Aktiviti yang
seterusnya juga telah dikendalikan oleh Encik Izwan yang telah berkongsi
pelbagai teori dan perkara penting yang perlu ada pada setiap ahli sukarelawan
sebelum menjalankan misi. Sepanjang teori ini, kami telah didedahkan dengan
pelbagai pengetahuan yang lebih mendalam mengenai makna ilmu, bahasa dan diri
sendiri. Bukan itu sahaja, malah sepanjang teori ini juga kami telah
mempelajari tentang kepentingan kepentingan yang perlu ada pada diri sebelum
meneruskan misi yang pastinya akan lebih mencabar diri setiap sukarelawan.
Kemudian, kami telah diberi rehat seketika
untuk menunaikan Solat fardu Zohor dan makan tengahari. Setelah selesai solat
dan makan tengahari, kami meneruskan aktiviti dengan melatih diri dalam latihan
berkomunikasi yang juga dikendalikan oleh Encik Izwan. Latihan komunikasi ini
sedikit sebayak telah mengajar para sukarelawan untuk lebih memahami dan
menghayati tentang pelbagai cara untuk berkomunikasi dengan baik apabila
berhadapan dengan semua orang. Antara
cara untuk berkomunikasi yang telah kami pelajari ialah cara berkomunikasi
melalui mata, menjadi pendengar serta penyampai cerita yang baik. Kami juga
telah dilatih untuk memantapkan lagi cara percakapan kami supaya tampak lebih
yakin dengan cara yang betul dan tepat. Setelah itu, kami telah diberi rehat
untuk menunaikan Solat Asar. Selesai Solat Asar, kami telah berkumpul semula di
dalam bilik perbincangan untuk meneruskan aktiviti. Kali ini, kami telah diberikan
peluang untuk mendengar pengalaman kakak fasilitator yang mempunyai pengalaman
dalam menjalankan misi sebelum ini. Sepanjang perkongsian, kami telah
didedahkan dengan pelbagai info dan tips tips menarik yang perlu diketahui.
Bukan itu sahaja, malah kami juga telah mengetahui tentang pelbagai cabaran dan
keadaan yang perlu dititikberatkan sepanjang menjalankan misi. Ternyata
bukan mudah untuk menjalankan dan
mengharungi misi sukarelawan ini.
Kemudian,
kami berehat seketika untuk menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah dan makan
malam. Usai solat Maghrib dan makan malam, aktiviti diteruskan lagi dengan
mengimbas balik pengajaran yang telah kami dapat sepanjang hari tersebut. Sebelum
bersurai, semua fasilitator dan sukarelawan telah berkumpul beramai-ramai untuk merumuskan semula tentang
pengisian yang telah dipelajari pada hari ini. Aktiviti tersebut juga dikenali
sebagai “ post mortem “. Tidak lama kemudian, semua ahli mula pulang ke hostel
masing-masing.
Hari Kedua,
pada 4 September 2018, program induksi misi sukarelawan antarabangsa ini telah
diteruskan dengan akiviti pendedahan mengenai cara-cara membuat puisi dan
sajak. Kami para sukarelawan telah diajar untuk membuat puisi dengan cara yang
betul dan tepat. Bukan itu sahaja, malah kami juga berpeluang untuk membina
puisi kami sendiri. Seterusnya, kami telah diajar untuk lebih mendalami tentang
media. Setiap sukarelawan telah diajar dan didedahkan dengan cara untuk merakam
videografi dan seterusnya mengedit video tersebut. Secara tidak langsung, kami
telah mengukuhkan ikatan silaturahim antara satu sama lain dan lebih mengenali
tentang bakat dan kebolehan satu sama lain. Dengan adanya aktiviti ini, kami
telah berjaya untuk menghasilkan sebuah videografi sebagai latihan sebelum
meneruskan misi masing-masing.
Setelah itu,
kami telah diberi rehat untuk menunaikan Solat Dhuha dan sarapan pagi. Setelah
selesai bersarapan, kami telah meneruskan hari kedua kami dengan aktiviti teori
mengenai kepentingan travelog sepanjang menjalankan misi kelak. Melalui teori
ini, setiap sukarelawan telah dikongsikan dengan pelbagai pengalaman dan cerita
mengenai pengembaraan masing-masing yang harus ditulis dalam travelog. Setelah berjaya
menulis travelog, setiap sukarelawan perlu lah mengongsikannya di dalam blog
misi masing-masing. Kemudian, kami rehat untuk menunaikan solat fardu Zohor dan
makan tengahari.
Usai solat fardu
Zohor dan makan tengahari, program induksi ini diteruskan dengan aktiviti yang
lebih mencabar iaitu aktiviti berpidato. Melalui aktiviti ini, setiap
sukarelawan telah didedahkan dengan pelbagai info dan tips untuk berkeyakinan
dalam menyampaikan pidato secara spontan mahupun formal. Kami dilatih untuk
menyampaikan pidato dengan lancar dan berani di hadapan khalayak ramai. Secara
tidak langsung, tahap keyakinan kami juga dapat dipertingkatkan. Setelah itu,
kami menunaikan solat fardu Asar.
Post a Comment