Hari ke-4 di Princess of Naradhiwas University, kami memulakan program pagi kami dengan mengenali dekan-dekan PNU dengan lebih dekat dan mengadakan sesi taaruf selama satu jam bersama mereka. PNU mempunyai 7 fakulti , 1 akademik iaitu Akademik Pengajian Islam dan 3 kolej yang mana mereka bukan sahaja mementingkan ilmu tetapi juga mereka menekankan kemahiran teknikal kepada pelajar-pelajar. Antara kemahiran yang ada di PNU ialah automobil, elektrik, pembuatan air-cond, pertanian dan lain-lain. 

Kemudian kami dibawa ke fakulti pertanian PNU yang terletak tidak jauh dari kampus utama PNU. Pengiring kami pada hari ini ialah Ustaz Mohd Toyyib dan dua orang lagi iaitu Dr Ilham (veterinar) serta Dr Sulaiman (mikrologi). Fakulti pertanian PNU sangat besar dan luas. Banyak tanaman dan haiwan yang terdapat di sini. Uniknya, walaupun di ladang, terdapat juga rumah untuk pelajar-pelajar pertanian bagi memudahkan mereka memantau hasil tanaman mereka. Di fakulti ini juga terdapat sebuah makmal ujikaji bagi melihat pertumbuhan pokok dan tumbuhan. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai beberapa ekor kuda, kambing dan biri-biri. Masa kami banyak dihabiskan di fakulti pertanian dan banyak juga ilmu mengenai haiwan dan tumbuhan yang kami peroleh.

Memandangkan hari ini hari jumaat jadi kami berehat lama di masjid PNU bagi yang perempuan manakala lelaki menunaikan solat jumaat. Kemudian kami dibawa ke pantai Narathiwat. Keindahan pantai yang luas dan bersih itu mempunyai ramai pengunjung. Kami bergambar dan menikmati ais krim pulut sambil melayani angin-angin sempoi bahasa. Disebalik bukit-bukit di pantai itu terdapat sebuah istana raja pada suatu ketika dahulu.  


Selepas itu kami menuju ke Masjid Jekang untuk solat Asar. Berdekatan masjid Jekang terdapat sebuah pasar Sungai Narathiwat. Kami membeli juadah makan malam dan makan di situ. Aku amat mengemari konsep di pasar ini. Tempat makannya terapung di atas sungai dan diperbuat daripada buluh. Selesai makan, kami kembali ke masjid Jekang untuk solat maghrib dan isya’. Selepas solat kami dibawa ke gelanggan futsal. Di gelanggan futsal, Ustaz Mohamad Toyyib memberikan sedikit tazkirah mengenai ukhuwah.  Selesai semuanya kami pulang untuk membuat postmortem dan tidur. 

 Nur Ameera Afiefa bt Azlin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada  6 hingga 23 Ogos 2019 sebagai Bendahari. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post