3 August 2019 - Hari kedua induksi bagi misi sukarelawan Patani (MIMPI), Medan (AMAN) dan Lombok (MISQLI) yang diadakan di Unisel Bestari Jaya. Aku tiba lewat ke induksi yang sepatutnya semua sukarelawan berkumpul pada 2 ogos tetapi ketiadaan pengangkutan menyebabkan aku tidak dapat menyertai sukarelawan lain pada malam pertama induksi.

Pada pukul 8.30 pagi, aku bertolak dari rumah di Port Dickson menuju ke Unisel Bestari Jaya. Kami sekeluarga berhenti untuk bersarapan di kedai nasi lemak kegemaran kami di Mambau. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Unisel dan tiba di Unisel pada pukul 12.30 tengah hari. Kesesakan lalu lintas  membuatkan aku tiba agak lewat dari masa yang sepatutnya.

Setibanya di Unisel aku naik ke rumah dahulu untuk menghantar barang ke bilik. Sesudah solat zohor dan makan tengah hari di bilik aku bergerak ke Masjid Unisel dimana tempat para sukarelawan berkumpul. Sewaktu aku tiba di masjid mereka sedang membentangkan tentang misi masing-masing seperti geografi, sejarah, makanan dan pendidikan di tempat misi mereka termasuklah rakan-rakan misi ke Patani.

Selesai pembentangan, kesemua sukarelawan menunaikan solat Asar berjemaah dan selepas itu kami membaca al Mathurat bersama-sama.  Kemudian, kami melakukan aktiviti riadah dengan bermain 3 permainan iaitu “goreng pisang” yang dicadangkan oleh misi Patani, “telefon rosak” oleh misi Lombok dan “radio buruk” dari misi Medan. Pelbagai pengalaman menarik dan nilai murni yang diperoleh daripada permainan yang dijalankan.

Setelah penat bermain, kami mengisi perut dengan nasi ayam yang diberi. Azan berkumandangan menandakan telah masuk waktu untuk solat Maghrib lalu kami terus ke masjid dan solat berjemaah. Seusai solat kami berkumpul kembali untuk membaca al-Quran. Surah yang dipilih ialah surah al-Kahfi ayat 1-10. Kemudian solat Isyak berjemaah.

Bagi mengakhiri induksi pada hari ini, kami melakukan checklist terlebih dahulu untuk mengetahui sejauh mana persiapan misi kami dan post-mortem juga dijalankan. Selesai induksi pada hari kedua, kami balik ke hostel bagi mendapatkan rehat yang cukup.


Nur  Ameera Afiefa 
Bendahari Misi Patani. 

Post a Comment

Previous Post Next Post