Aku berasa lega hari ini kerana aku berjaya bangun awal untuk persiapan harian Subuh. Setelah membaca Al-Mathurat, kami melakukan OG ringkas bagi membincangkan tentatif hari ini. 30 minit kemudian, van kami pun tiba. Kami sepatutnya diiringi oleh Ustaz Muslimin, namun atas beberapa sebab, pagi itu kami hanya diiringi oleh Nur-Ainee sahaja.

Aktiviti pagi kami di Surau Khairiah. Bersebelahan dengan Surau itu, terdapat sekolah pondok percuma untuk anak yatim dan orang kurang berkemampuan. Sekolah tersebut dikenali sebagai Taman Didikan Khairiah. Ketua imam surau tersebut, Imam Hussen merupakan pengasas sekolah tersebut. Surau tersebut sudah berusia 40 tahun manakala sekolah pondok pula 30 tahun. Furkon juga mengatakan bahawa dia merupakan bekas pelajar di situ.

Kami membahagikan tugasan kepada 2 tugasan iaitu pasukan mengajar dan pasukan membersih. Pasukan mengajar akan mengajar pelajar sekolah tersebut manakala pasukan membersih akan  membersihkan kawasan surau. Antara pengisian pembelajaran termasuklah kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Kisah ini diceritakan oleh Ahmad kepada kanak-kanak sekolah dan dibantu oleh Nur-Ainee. Antara kawasan yang dibersihkan pula ialah tandas dan kawasan wudhu. Kesemua aktiviti berjaya diselesaikan dalam masa 2 jam. Kami berehat dan menikmati hidangan tengah hari bersama dan kemudian kami membuat sesi fotografi bersama warga yang terlibat.

Pada tengah hari, kami melawat Masjid 300-Tahun, atau dikenali dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein. Sebelum menunaikan solat Zohor, kami belajar tentang kisah disebalik masjid ini.
Wan Hussein (Wadi Hussein) seorang bangsawan berasal dari Pattani. Pada waktu itu, Kerajaan Siam sedang berusaha memecahkan Pattani dan beliau terpaksa berundur sehingga ke Narathiwat, akhirnya terjumpa satu lokasi yang stratergik untuk bertahan. Masjid ini dibina sejak 1044 H. Kawasan masjid ini dikelilingi oleh sungai bagi tujuan makanan dan kegunaan harian, manakala bukit di belakang masjid, Bukit Su Ngai Padi merupakan 'exit door' sekiranya Wadi Hussein dan orang2nya dikepong. Struktur Masjid Wadi Hussein sangat sama dengan seni bina Surau Ahol. Masjid ini pada asalnya dibina 100% dari kayu, menggunakan pasak utk menggantikan paku. Jendela dibina sehingga ke paras kaki kerana pada ketika itu kipas belum diperkenalkan dan dapat memudahkan orang didalam untuk melihat sekiranya ada musuh datang atau tidak.

Seusai Zohor, kami bergerak ke paco (air terjun) di Budo Su Ngai Waterfall. Disana, kami membuat aktiviti membersih sambil mendengar tazkirah dari Ustaz Muslimin bertajuk kewajipan berjemaah. Beliau menceritakan bahawa kepentingan berjemaah tanpa mengira latar belakang dan beliau kagum dengan kami kerana usaha kami sepanjang berada dalam misi merupakan salah satu contoh perlaksanaan kewajipan berjemaah. Setelah selesai, kami menjamu durian mas di situ sambil menikmati pemandangan yang cukup indah.



Tepat pukul 4 petang, kami berangkat pulang ke hostel. Setibanya di hostel, angin kencang mula melanda di sekitar hostel kami. Kami segera membawa masuk baju yang disidai di luar. Angin cukup kencang sehingga siling kami tercabut. Kami tidak putus berdoa agar keadaan dipulihkan seperti biasa.

Setelah Isya', aku dipanggil oleh Sumayyah untuk berbincang tentang tentatif Ahad. Kami berbincang tentang modul yang sesuai untuk diajar di rumah anak yatim nanti dan hasil perbincangan, kami setuju untuk membuat modul Matematik. Selepas dari perbincangan, kami pulang ke rumah masing-masing. Kami melaksanakan Postmortem dan Graf Kehidupan dimana setiap ahli perlu menceritakan momen-momen paling terkesan sepanjang kehidupan mereka. Slot ini ternyata berjaya merapatkan hubungan silaturrahim antara kami. Setelah selesai, kami pun pulang tidur.

Fikry Bin Abd Hamid merupakan sukarelawan yang akan melaksanakan Misi Jelajah Patani pada 6-23 Ogos 2019 sebagai Pengarah. Beliau merupakan Exco Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar MPPUNISEL sesi 2019/2020 selain Timbanlan Presiden, Grup Sukarelawann Darul Ehsan Kampus Shah Alam. Beliau juga program Diploma in Accountancy

Post a Comment

Previous Post Next Post