Awal pagi, aku
sudah berkunjung ke rumah orang kampung untuk sarapan setelah selasai Solat
Subuh berjemaah di Surau Ahol dan bacaan al-ma’thurat. Orang Kampung Nad
Tanjung memang baik hati. Usai sarapan, aku berjalan kaki nak balik ke ‘homestay’ untuk mengangkat barang. Abe
Arifin menumpangkan aku menaiki motor di pertengahan jalan.
Sebelum aku
tinggalkan ‘homestay’, aku mengemas
sampah, katil dan tandas. Aku nak pastikan tempat yang aku dah gunakan bersih
dari kotoran. Memastikan suis lampu ditutup dan ‘plug’ dicabut. Aku bersyukur sangat ada tempat untuk berteduh.
Jadilah kita seperti orang yang menenam pokok, apabila pokok besar, ia
meneduhkan, menghasilkan buah, oksigen dan memberi manfaat juga haiwan dan
tumbuhan lain.
Aku dan
teman-teman bergerak menuju Takbai, Thailand. Perjalanan menaiki van mengambil
masa dalam 1 jam dan jarak lebih kurang 100 km. Jarak ini sesuai untuk
melakukan solat jama’. Allah memberikan kelebihan kepada orang yang bermusafir,
boleh solat jama’, dapat pengajaran, dapat melihat keindahan alam dan doa
dimakbulkan.
Setibanya aku di
Takbai, aku tersenyum lebar bila melihat Ustaz Ahmad (pensyarah Princess of
Naradhiwas University). Ustaz kata, “Oh, kamu rupanya!” Aku bertambah gembira
sebab Ustaz Ahmad masih ingat pada diriku. Kami pernah bersua dalam satu
program “Bengkel Kepimpinan Sukarelawan Antarabangsa”, anjuran Grup Sukarelawan Darul
Ehsan (DE VOLUNTEER) dan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Kegiatan Pelajar
(COMNET), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) UNISEL dan Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Bestari Jaya pada tahun 2017. Ustaz Ahmad
bersama rombongan pelajar, antaranya Furqon Useng, Farhan Wani, Syamsul,
Nur-Ainee, Tasneem, Sumayyah dan beberapa orang lagi, lebih kurang 14 orang
dalam satu kumpulan.
Kemudian aku
bertemu pula dengan Furqon Useng di Masjid Badiu As-Solehin, Tak Bai, Thailand.
Kami saling bertanya khabar dan khabar sahabat yang pernah ikuti program di
Unisel pada tahun 2017 itu. Meremang bulu roma aku dan rasa gembira ketika
bersua muka kerana aku tak sangka Allah temukan kami semula setelah dua tahun
pergi menuntut ilmu di dua buah kampus yang terpisah oleh sempadan Takbai dan
Pengkalan Kubur. Furqon menyanyakan khabar Syazwan, Shahiir, Hafizan, Syed
Akmal, Hassan, Tirmizi, Ustaz Izwan (Encik Izwan Suhadak Bin Ishak, Pengarah
COMNET), Hidayah Razlan, Syahirah Salim, Masitah, Fathin, Hanim, Hana, Hani,
Syuhada, Hidayah Mesari. Aku mengkhabarkan ada yang dah bekerja, jadi graduan,
pelajar tahun akhir. Furqon sekarang berada di tahun 4, mengaji di Prince of
Naradhiwas University (PNU) atau dipanggil MONORO.
Ustaz Ahmad
mengatur aktiviti gotong-royong di masjid untuk pelajar PNU dan UNISEL, dan aktiviti
rewang untuk orang kampung. Aku mengutip sampah keliling masjid. Luas kawasan
masjid sekitar 70 kaki panjang kali 40 kaki lebar. Banyak botol kaca yang boleh
dikitar semula. Sampah yang perlu dibuang diasingkan. Rumput sekitar tangga
masuk masjid dicabut, pintu tandas yang berlubang ditampal. Aku bayangkan
setiap kali aku mengutip sampah, aku mengutip dosaku dan membuangnya dan
membersihkan hatiku.
Setelah aku dan
teman-teman mengemas, kami duduk santai dan buat O Grup (OG) tajuk “Kasih
Sayang”. Furqon menyebutkan penting kasih sayang antara sahabat kerana dapat
memberi syafa’at. Furqon menceritakan pengalamannya ketika tinggal di rumah
sewa seorang diri, dia kata berasa runsing dan tak tenang. Pesannya, carilah
sahabat yang sentiasa ingatkan diri kita kepada Allah dan menegur bila ada
kesalahan.
Ketika takbir
raya dialunkan setelah selesai solat Zohor di masjid, aku menitikkan air mata
kerana gembira dapat bertemu semula dengan sahabat lama. Aku sedar bahawa Allah
Maha Besar, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan segala puji
bagi Allah. Sewaktu aku membaca surah al-Fatihah dalam solat sunat selepas
Zohor juga aku sekali lagi menangis kerana aku sedar bila aku semakin
bersyukur, Allah akan menambahkan nikmatNya kepada ku.
Penulis bernama Muhammad
Amin Bin Shahrudin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI)
pada hingga 23 Ogos 2019 sebagai AJK Kebajikan. Beliau merupakan ahli, Grup
Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains
dalam Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Rantaian Bekalan, tahun ketiga dari
Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor
(UNISEL) kampus Bestari Jaya.
Post a Comment