Pagiku dikejutkan oleh Amin. Segeraku bangkit untuk mempersiapkan diri ke Surau Ahol. Setibanya disana, kami menunaikan solat Subuh dan bertakbir raya. Seusai solat, Abe Mat terus menjemput kami makan di rumah Abdul Rahman (Abe Man). Antara juadah yang beliau sediakan ialah nasi lauk sup lembu, daging goreng dan air kopi. Pergerakan kami agak kurang tersusun kerana kelewatan beberapa ahli. Alhamdulillah, meskipun begitu, perkara tersebut tidak menjejaskan pelan kami pada hari itu. Setelah selesai makan, kami pulang ke rumah untuk membuat OG. Kami berbincang tentang tentatif semasa di Tak Bai dan Narathiwat.

Tepat pukul 11 pagi, Abe Mat menghubungi aku untuk bersiap bagi melaksanakan Qurban di rumah anak yatim. Lembu kami bersaiz besar, sihat dan mempunyai tanduk yang panjang. Setelah selesai akad jual beli, upacara menyembelih pun bermula. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Lembu kami berjaya disembelih tanpa masalah. Daging lembu tersebut dilapah dan diberikan sama rata kepada semua pihak yang berkenaan. Kami mengambil sedikit daripada kesuluruhan daging untuk dibakar dan makan bersama orang kampung pada petang nanti.



Pada tengah hari, kami dijemput untuk menjamu selera di rumah Abe Din. Abe Mat memberi tahu bahawa isteri Abe Din pernah membuka restaurant di Malaysia suatu ketika dahulu. Namun telah ditutup atas beberapa sebab. Kami dihidangkan dengan sup daging, daging hancur dan daging masak merah. Menu kali ini daging daging belaka. Masing-masing menahan kepedasan namun gagahkan juga diri untuk menghabiskan makanan tersebut. Biarpun pedas, kesemua lauk sedap-sedap belaka. 



Pada petang, kami bertungkus-lumus membuat persiapan bagi majlis makan-makan bersama orang kampung. Tugasan diberikan sama rata. Aku, Ahmad dan Kak Sha ditugaskan membakar daging. Syakilla, Asshikin dan Hana pula memasak nasi dan menyediakan air manakala Amin pergi ke kedai membeli ais batu. Walaupun penat, alhamdulillah persiapan berjaya dilaksanakan dan masakan kami dipuji oleh Abe Mat. 



Selepas Maghrib, orang kampung pun hadir ke rumah kami untuk makan-makan. Terdapat juga kanak-kanak hadir untuk memeriahkan suasana. Pada mulanya mereka agak malu-malu tetapi setelah beberapa minit, mereka sudah membiasakan diri dengan kami. Sambal kicap yang kami sediakan agak pedas. Sangat pedas sebenarnya. Kami juga agak terkejut tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.






 Tepat pukul 9, kami terus ke padang bola dimana terdapat Karnival Anak Muda di situ. Karnival ini diadakan setiap tahun di Nad Tanjung dan kali ini adalah kali ke-17. Kami menyertai acara nyanyian nasyid. Alhamdulillah, persembahan kami berjalan lancar walaupun kami tidak biasa berhadapan dengan penonton yang ramai. Lagu nasyid yang kami nyanyikan ialah Iman Mutiara dan Rasulullah dari kumpulan Raihan. Setelah selesai, kami pulang ke homestay dan membersihkan kawasan rumah sebeleum melakukan OG dan tidur. 




Fikry Bin Abd Hamid merupakan sukarelawan yang akan melaksanakan Misi Jelajah Patani pada 6-23 Ogos 2019 sebagai Pengarah. Beliau merupakan Exco Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar MPPUNISEL sesi 2019/2020 selain Timbanlan Presiden, Grup Sukarelawann Darul Ehsan Kampus Shah Alam. Beliau juga program Diploma in Accountancy

Post a Comment

Previous Post Next Post