Kuliah 30 saat (Kulsam) kami pada pagi yang damai ini bertajuk Ihsan. Kami berkongsi pendapat masing-masing bersama dengan dua orang pelajar PNU. Kemudian kami menunggu van daripada PNU untuk membawa kami melawat kawasan universiti mereka terutama di bahagian fakulti Liberal Arts. Kami mendengar sejarah pembentukan universiti tersebut. Aku juga dapat mengetahui struktur pembangunan universiti tersebut dan keistimewaannya serta makna simbolik sesuatu warna dan logo. Aku juga didedahkan dengan maklumat berkaitan permaisuri yang meletakkan namanya sebagai nama universiti tersebut dan juga mahkotanya sebagai logo universiti.
Kulsam yang kedua bertajuk Ilmu, antara pengajaran yang aku dapat adalah ertinya, ketibaan makna yang hadir dalam diri dan diri pergi kepada makna. Ini yang selalu ditekankan oleh Encik Izwan Suhadak, kita sebagai manusia mestilah sentiasa berusaha untuk mencari ilmu walau macam mana cara sekalipun. Kita tidak patut sentiasa membuat alasan dalam mencari ilmu kerana ilmu Allah itu luas dan tidak ada sebarang alasan.
Kulsam yang seterusnya bertajuk tujuan hidup, kami melakukannya di atas motor 'colek' sambil menuju ke masjid untuk mendengar ceramah. Tujuan hidup yang bermakna apabila kita semua tahu kenapa kita diciptakan di muka bumi ini. Kita juga tidak boleh mempertikaikan segala sebab kejadian yang berlaku terhadap diri kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya dan itu yang akan mengajar kita untuk befikiran lebih matang di masa akan datang.
Kulsam yang terakhir pada hari ini bertajuk ukhwah, ukhwah yang baik apabila semua ahli sentiasa menjaga antara satu sama lain dan tidak ada walau sedikit salah faham di antara mereka kerana itu akan menjauhkan hubungan sesama mereka. Ukhwah terjalin melalui satu perbincangan dan pertemuan yang mempunyai isi berfaedah. Setiap daripada kita juga haruslah sentiasa menjaga kebajikan di antara satu sama lain.
Disediakan oleh :
Nur Farhana Marini Binti Marzuki merupakan sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) sebagai Setiausaha, juga sebagai Exco Multimedia dan Teknologi Kreatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUNISEL) sesi 2019/2020 serta Setiausaha Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER) Kampus Shah Alam.
Post a Comment