Hari ini terasa bebas dan lega sedikit kerana program rasmi di PNU telah selesai. Kami masih menginap di hostel PNU memandangkan tiket balik kami pada 22 hari bulan. Tentative pada hari ini tidak terlalu padat seperti hari-hari sebelumnya. Kami ke Pulau Kambing untuk melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan masjid dan pantai. Hasil kerjasama kami dan pelajar PNU dapatlah kami mengutip sebanyak 2 bag plastic hitam dan 1 guni. Walaupun tidak ramai penduduk di kawasan sekitar tetapi banyak sampah yang terbiar di kawasan pantai dan banyak juga serpihan kaca serta botol-botol kaca yang boleh mencederakan jika terpijak.

Selesai gotong-royong kami bermain permainan yang dinamakan perang air. Satu kumpulan dibahagikan kepada tujuh orang dan seorang ketua dilantik. Walaupun hari semakin terik tapi setiap orang sangat sporting untuk bermain di tengah panas. Peluru air yang dibuat oleh air Sumayyah, Areena, Tasneem dan Ainee dengan menggunakan pewarna makanan. Aku sebenarnya tidak faham cara permainan ini jadi aku hanya membaling sahaja peluru ke pasukan lawan. Akhirnya, kami tidak tahu kumpulan mana yang memenangi permainan ini.

 Memandangkan kami bermain di tepi pantai, kami tidak melepaskan peluang untuk bermain di dalam air pulak. Habis sahaja permainan perang air, kami terus masuk ke dalam air. Pada mulanya aku hanya berniat untuk membasahkan kaki sahaja, namun setelah melihat kawan-kawan lain membasahkan diri mereka aku juga turut membasahi diriku. Puas kami bermain air, kami naik ke atas kerana telah tiba waktu untuk solat zohor. Semasa menggu badan kering dan perut pun sudah kelaparan, kami menjamu buah-buahan seperti rambutan , manggis, durian dan buah nona yang dibawa oleh pelajar-pelajar PNU. Buat pertama kali aku merasakan buah nona. Pada mulanya aku agak geli untuk makan buah nona tapi melihat rakan-rakan lain makan macam sedap sangat aku merasa sedikit buah nona dan merasa banyak lagi selepas itu kerana rasanya yang sedap membuatku ingin makan kesemuanya.

Setelah penat bermain air dan mandi laut kami pulang ke hostel untuk solat, makan tengah hari dan berehat. Kemudian kami berkumpul semula sebelum maghrib untuk solat di luar iaitu di Masjid Haji Daud. Selesai solat kami menuju ke kedai Little Dream iaitu sebuah kedai aiskrim. Aiskrim merupakan salah satu makanan kegemaranku. Aku memesan “Happy Sundae” dan aku yang pertama sekali menghabiskan aiskrimku. Shakila yang tidak mengemarkan aiskrim menghulurkan aiskrimnya kepadaku untuk dihabiskan. Secara tidak langsung aku memakan dua cawan aiskrim pada malam. Sedang enak menikmati keenakkan aiskrim, hujan diluar semakin lebat. Kami tidak dapat pulang ke hostel kerana hujan yang semakin lebat. Kami berteduh di kedai aiskrim sehinggalah hujan reda. Sementara menunggu, banyak yang dibualkan dengan pelajar-pelajar PNU. Antaranya menegnai politik Malaysia. Aktiviti-aktivti yang kami lakukan harini dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara pelajar-pelajar Unisel dan pelajar-pelajar PNU. Semoga ukhuwah yang terjalin ini akan terus merapatkan silaturahim semua yang terlibat sepanjang seminggu kami di PNU ini. Seperti biasa, kami pulang ke hostel dan sebelum tidur kami melakukan post-mortem serta OG.


 Nur Ameera Afiefa bt Azlin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada  6 hingga 23 Ogos 2019 sebagai Bendahari. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post