Seperti biasa selepas Subuh, kami memulakan dengan bacaan Al-Mathurat. Setelah itu, slot pertama diisi dengan bacaan surat wasiat dari ahli Misi Menjelajah Patani. Suasana menjadi sayu dan isi surat wasiat peserta sangat menyentuh perasaan. Tangisan jelas terlihat dari beberapa peserta, air mata yang ikhlas mengalir tanda erti sukarelawan sememangya sangat bermakna bagi mereka. Pengorbanan yang sedia dilakukan oleh sukarelawan amatlah besar, bagai berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Selesainya slot membaca wasiat, slot seterusnya dikendalikan oleh Dr. Zaki. Beliau memberikan penerangan tentang apa objektif sebenar seorang sukarelawan. Beliau menegaskan kepada kami bahawa pentingnya untuk mempunyai visi yang jelas ketika melaksanakan misi. "Jika kamu tinggalkan makna baik disana, kamu akan pulang dengan makna yang lebih besar, in sha Allah," kata beliau.
Setelah itu, kami diberikan peluang untuk menyiapkan senarai semak tugasan yang belum selesai. Aku, Ahmad Haydar dan Syakilla bertanggungjawab untuk membeli bendera, bingkai saguhati dan beberapa peralatan elektrik. Antara kedai yang kami singgah termasuklah MR. DIY dan NXT Mini Market. Lokasinya tidak lah jauh dan terima kasih juga kepada Anwar kerana sudi meminjamkan keretanya kepada kami.
Selepas Asar, van kami pun telah tiba. Kami terus mengambil and meletakkan barang kedalam van UNISEL. Kami sempat bergambar kali terakhir sebelum berangkat ke Teriminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Setelah selesai bersalam-salaman, perjalanan pun bermula. Kesesakan lalu lintas sedikit sebanyak menjejaskan tempoh berjalanan kami. Mujur tiket bas pukul 11 malam. Waktu ketibaan kami di TBS tepat-tepat dengan masuknya azan Maghrib. Kami terus berbuka puasa di situ. Antara menunya termasuklah KFC dan Subway.
Sejam setengah sebelum pukul 11, emak, abang dan kakak ku tiba di TBS untuk melawat kali terakhir. Emak sempat belanja ku 'moreh' Dunkin' Doughnuts. Aku dibenarkan membawa 2 donut sebagai bekalan perjalanan dan selebihnya untuk dinikmati bersama. Sebelum menuju ke pintu 17, kami sempat untuk membuat OG secara pantas. Selain itu juga kami sempat membeli Penadol Actifast dan 2 Cool Fever sebagai persediaan di sana. Tepat jam 10:40 malam, kami terus bergerak menuju pintu 17. Kami tak menunggu lama untuk menanti kehadiran bas kami.
Setelah menyelesakan diri di dalam bas, tiba-tiba bas kami mengalami kerosakkan. Bas kami telah bergesel dengan penghadang tol, lalu menyebabkan bahagian tepi kanan bas tercalar dan kemek. Kami terpaksa menanti bas gantian untuk tiba. Selepas 30 minit, bas gantian kami pun tiba. Alhamdulillah tiada apa-apa serius yang berlaku. Mujur insiden tersebut tidak mencederakan sesiapa.



Post a Comment