Tiket bas aku lewat sehari dari tim Misi Menjelajah Pattani (MIMPI). Aku ditugaskan untuk menjaga ahli MIMPI yang turut bergerak lewat sehari iaitu Nur Farhana Marini Binti Marzuki. Dia akan menduduki peperiksaan praktikal bahagian kejururawatan pada pagi itu dan malam akan bergerak ke Pattani, Thailand. Aku merasakan tugas ini agak mencabar kerana tiada ‘muhrim’ yang mengiringi. Aku cuba setkan minda, walaupun kami berdua tetapi tempat duduk dalam bas adalah berasingan dan orang awam turut ada.

Aku bertemu kawan sekolah (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam) di Stesen Bas Seksyen 17, Shah Alam. Namanya Faris Bin Yusof, berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Terengganu. Aku sangat gembira dapat bertemu kerana sebelum ini pernah merancang untuk bertemu tetapi masa tidak mengizinkan. Begitu baik perancangan Allah, aku ditemukan dengan Faris setelah hampir 8 tahun tidak bertemu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011.

Aku sudah bersedia dengan wuduk sebelum menaiki bas kerana aku sedar perjalanan agak jauh dari Shah Alam ke Pengkalan Kubur, Kelantan. Aku iqamat lalu menunaikan Solat Isya’ dalam keadaan duduk walaupun sempit dan tak sama solat ketika berdiri di masjid. Aku berhasrat sentiasa dapat menunaikan solat fardhu di tempat azan berkumandang, berjemaah dan di awal waktu. Aku nak diri ini sentiasa ingat bahawa ada yang berkuasa ke atas semua makhluk.

Tidak dapat aku gambarkan betapa terujanya apabila melihat suasana perhentian bas Ekspres Perdana di Marong, Kelantan. Hanya bas Ekspres Perdana sahaja yang berhenti di kawasan itu. Bas tersusun bagai tiga buku roti, pelbagai corak dan warna. Tempat itu turut dinamakan Perhentian Ekspres Perdana. Gerai, restoran dan kedai runcit yang menyediakan sajian yang murah berbanding di Rehat dan Rawat (R&R) di lebuhraya utama. Aku terpaksa tukar ke bas yang lain kerana aku menumpang bas yang berhenti di Kota Bharu, Kelantan. Beg galas yang berat terpaksa aku pindahkan serta komputer riba dan botol ‘tumbler’. Aku bawa komputer riba untuk menulis travelog dan puisi. Walaupun ia benda yang paling berat, aku anggap ini suatu latihan untuk belajar menulis sejarah kerana aku juga belajar dari penulisan orang lain. Wahyu pertama memerintahkan untuk kita baca, mengkaji, memerhati dan merasai pengalaman.

Aku tiba di Pengkalan Kubur, Kelantan awal pagi waktu subuh. Aku menghubungi orang yang sepatutmya menyambut aku di situ tetapi tak dapat. Sebelum bertolak, di stesen bas Shah Alam, aku sudah ‘Whatsapp’ dan menelefon tetapi tidak berbalas. Aku menghantar mesej setiap perhentian atau ‘signboard’ yang aku nampak untuk memberitahu lokasi terkini tetapi mesej masih tidak berbalas. Aku belajar supaya menghubungi awal pagi kerana waktu itu urusan masih belum sibuk dan tenaga masih banyak.

Aku singgah ke Masjid Al-Huda yang terletak 500 meter dari stesen bas untuk tunaikan kewajipan serta Solat Sunat Dhuha. Sempat bertemu dengan Abang Syamidi, setiausaha kerja Masjid Al-Huda (016-7448907) untuk bertanya ‘ATM’ yang berdekatan. Caj mengeluarkan duit di negara lain agak mahal.

Penulis bernama Muhammad Amin Bin Shahrudin merupakan aktivis sukarelawan Misi Jelajah Patani (MIMPI) pada hingga 23 Ogos 2019 sebagai AJK Kebajikan. Beliau merupakan ahli, Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER). Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Rantaian Bekalan, tahun ketiga dari Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post